Monday, January 25, 2010

PENAMBAHBAIKAN DALAM URUSAN KERJA-KERJA UNDI

Rasanya masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan selamat tahun baru 2010, dengan harapan semoga pada tahun ini semua aktiviti kerja-kerja kontrak berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kami di bahagian kontrak sentiasa akan menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi dan adil. Kami di sini tidak mempunyai apa apa kepentingan diri dalam semua urusan berkaitan kerja kerja kontrak.

Untuk tahun ini beberapa penambahbaikan telah difikirkan dan salah satu penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah berkaitan proses pelaksanaan kerja kerja undi sekiranya ada. Apa yang telah dilakukan dulu rasanya telah elok, tetapi bila difikir-fikirkan masih belum memberi keadilan kepada semua kontraktor yang hadir untuk mengambil bahagian.

Jadi pada tahun ini sekiranya ada kerja undi, suatu perubahan telah difikirkan iaitu kita tidak memanggil kontraktor untuk mencabut undi mengikut turutan dalam senarai daftar kehadiran. Sebuah peti undi tambahan akan diadakan untuk menempatkan bola ping pong bernombor sama banyak dengan bilangan kontraktor yang hadir mendaftar diri. Ini menjadikan peti undi berisi bola ping pong akan menjadi dua buah iaitu peti pertama dan peti kedua. Proses memasukkan bola ping pong ke dalam kedua dua buah peti undi akan disaksikan oleh wakil wakil kontraktor, dan wakil kontraktor juga diberi peluang untuk mencabut sekali sebiji bola ping pong bernombor di dalam peti pertama. Jadi nombor yang tertera pada bola ping pong yang dicabut dari peti pertama akan di semak dalam daftar kehadiran untuk menentukan kontraktor yang akan dipanggil untuk mencabut undi dalam peti undi kedua.

Antara tujuan dibuat penambahbaikan ini ialah untuk memberikan lebih keadilan kepada kontraktor, jika sebelum ini cabutan undi berdasarkan senarai daftar kehadiran. Cara lama memberi kelebihan kepada kontraktor yang hadir awal kerana lebih berpeluang berbanding dengan yang hadir kemudian kerana nama ada di bawah. Dengan cara baru ini diharapkan yang benar benar bernasib baik saja yang mendapat kerja, tidak kerana hadir awal lebih bernasib baik dari yang hadir kemudian. Sekiranya ada sebarang komen atau cadangan silalah beri atau emel kepada penulis di alamat jkrkms@gmail.com

1 comment:

  1. bagaimana dengan masa, adakah dengan cara ini masa dapat dijimatkan..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Followers